Kenapa simpan emas? Hutang negara semakin naik.

Nilai duit RM semakin hilang kuasanya. Zaman dahulu saya hanya membawa duit syiling ke sekolah rendah. Dengan 20 sen sudah boleh beli nasi lemak. Tapi lama kelamaan harga barang semakin naik.

Hutang negara adalah salah satu sebab terpenting kenapa kita mesti menyimpan emas. Hutang negara kini berada pada paras yang membimbangkan. Sangat membimbangkan. Anda boleh semak sendiri kadar hutang negara melalui Google.

Mungkin anda tidak mahu fikir tentang masalah hutang negara sebab itu hal negara. Apa kaitan hutang negara dengan duit dalam poket anda? Kaitannya adalah terlalu banyak.

Bila negara berhutang dengan banyak, mereka akan berusaha untuk membayar hutang. Cara terbaik membayar hutang ialah mengutip cukai dengan banyak. Jadi apa yang negara akan lakukan? Mereka akan menaikkan cukai. Bila ini berlaku harga barang lain akan bergerak naik juga.

Keadaan negara dengan hutang ini sebenarnya adalah satu hubungan yang berlaku secara semulajadi. Semua orang yang terpilih menjadi pemimpin negara akan mahu yang terbaik untuk negara. Apa yang meraka mahu ialah negara yang pesat dengan segala macam kemudahan dan bangunan paling canggih. Untuk buat semua ini perlu duit. Dari mana nak dapat duit?

Tugas ahli politik ialah mencari duit dengan cara berhutang. Tugas bank pula ialah mencari siapa yang mahu berhutang. Wow, ini adalah satu jodoh yang sempurna.  Bila mereka bertemu terjalinlah hubungan terlarang itu. Akibatnya lahirlah hutang yang tak berhenti-henti.

Keadaan ini menjadikan hubungan antara bank dengan ahli politik adalah saling perlu memerlukan. Tapi apa yang akan berlaku ialah seperti apa yang berlaku pada negara Malaysia iaitu hutang sentiasa berkembang pesat dan semakin bertambah banyak. Bila saja mahu membayar hutang, jumlahnya makin besar. Hutang lagi untuk membayar hutang. Sampai bila?

Hutang tak akan pernah habis. Kalau jadi semakin sikit tu kira logik juga. Tapi tidak. Hutang semakin lama menjadi semakin banyak. Akibatnya hutang tumbuh dengan pantas. Lebih pantas dari daun pokok. Bank adalah pihak yang paling faham hakikat ini. Mereka memandang duit sebagai alat berbentuk kertas sahaja. Mereka sendiri tidak percaya pada kertas itu maka mereka menyimpan emas. Emas adalah harta yang sebenar.

Keadaan negara yang membuat hutang dari masa ke semasa adalah tidak logik dan tidak boleh diterima oleh seorang pengurus kewangan yang bijak. Tidak kira apa justifikasi pun, entiti yang sedang menanggung hutang adalah entiti yang sedang diikat oleh rantai yang dahsyat. Fikirkan, negara kita berhutang untuk membayar gaji.

Satu ketika dahulu kerajaan kita miskin. Miskin tak mengapa, tak jadi masalah kalau tak ada hutang. Tapi bila berhutang apa yang berlaku ialah kita menjadi hamba kepada hutang. Kita bekerja untuk membayar hutang. Hutang adalah sesuatu yang memalukan. Ramai orang yang tak sedar hakikat ini. Negara pun tak sedar.

Negara paling hebat iaitu USA sedang menanggung hutang kini mencecah 20 Trillion Dollar. Apa yang bakal berlaku pada negara US itu? Mungkin akan menerima nasib yang sama seperti kejatuhan tamadun Rome? Apakah negara kita tiada kaitan dengan negara US? Bila US jatuh negara kita akan terkesan juga.

Banyak kali sejarah menunjuk kepada kita apa yang berlaku bila hutang sampai ke tengkuk. Tidak ada apa yang mampu selamat. Sampai ke mana permainan duit kertas ini mampu membawa manusia terbang? Pada akhirnya manusia cuma mahu sistem tukaran barang yang adil sahaja.

Apa yang dimahukan itu boleh berlaku kalau manusia menggunakan emas dan perak sebagai asas tukaran barang. Tapi manusia pemalas (dan pengecut juga). Mereka tak mahu bawa emas dan perak yang berat. Maka terciptalah duit kertas sebagai wakil emas. Lama kelamaan ikatan wakil itu pun menjadi tak terpakai sebab kertas itu mula dipercayai begitu saja. Manusia pun mula seronok mengumpul kertas…….sehinggalah

manusia pun mula melupakan emas.

Itulah cerita sedih yang sedang belaku di banyak negara dalam dunia hari ini. US dan Eropah yang dahulunya gah kini menunggu sedang masa untuk rebah.

Betul ke apa yang saya bebelkan ini? Hanya masa yang akan menentukan.

Sekian.