Sesiapa yang umurnya sebaya saya, iaitu menghampiri 40 an pastinya melihat dan merasa sendiri bahana inflasi yang bermaharaja lela dalam negara kita. Ia begitu serius dan perit sekali sehinggakan begitu ketara dan terasa betapa jatuhnya nilai duit kita. Kalau tak percaya cubalah bawa duit RM 50 masuk ke pasar raya, tengok apa boleh beli.
Saya masih ingat di satu masa dahulu harga nasi ayam cuma 2.50 sahaja. Tapi hari ini sudah mencecah 5.00 atau lebih. Itu adalah kenaikan sebanyak 100 peratus. Itu cuma sebahagian contoh inflasi yang berlaku dalam negara kita. Macam macam barang keperluan yang dahulunya murah kini menjadi mahal. Kalau nak senaraikan semuanya memang panjang.
Kalau dahulu harga kuih muih yang biasa masih dalam keadaan mampu beli tapi kini sudah menjadi mampu beli, tetapi dengan muka masam mencuka kerana harganya menjadi mahal. Kalau dulu bawa RM50 masuk pasar banyak benda boleh beli, kini bawa RM 50 terasa goyang. Macam tak berapa cukup saja. Ini semua adalah tanda bahawa duit kita semakin hilang kuasa belinya.
Keadaan ekonomi yang dikatakan kononnya sedang berkembang ini sebenarnya ada satu penjelasan yang mudah sekiranya anda mempunyai sedikit kefahaman ekonomi. Bila duit masuk ke dalam lingkaran pusingan jual beli secara terlalu banyak maka harga barang akan naik, pasti tanpa ragu. Ini kerana barang yang direbut akan pergi kepada sesiapa yang menawarkan tawaran paling bagus, semestinya yang berduit banyak.
Dari mana datangnya duit yang banyak ini? Jawapannya ialah ia datang dari bunga hutang setiap seorang daripada kita yang berhutang bermacam-macam benda. Ada yang berhutang kereta, ada yang berhutang rumah, ada yang berhutang duit belajar dan seribu satu macam hutang lagi. Semua orang berhutang kan? Bahkan negara sendiri pun berhutang.
Semua hutang-hutang ini bukan percuma. Ia datang bersama dengan bunga. Bunga inilah yang menjadi seperti duit yang jatuh dari langit. Seumpama duit palsu tetapi halal digunakan. Bila terlampau banyak hutang maka duit bunga pun banyak juga berlegar-legar dalam pusingan jual beli. Barang atau komoditi pula itu saja yang ada. Maka akibatnya harga barang naik dan naik, lagi dan lagi.
Semua ini berlaku secara perlahan sahaja tetapi pasti. Sampai masanya keadaan akan menjadi tidak terkawal dan merbahaya untuk golongan miskin yang tidak ada duit simpanan. Mereka terpaksa berhutang lagi. Akibatnya yang miskin menjadi semakin papa kedana. Ekonomi ini adalah ekonomi kapitalis. Siapa ada modal besar dialah yang berkuasa. Memang kejam kan tapi itulah hakikat ekonomi kita yang begitu menjerat.
Salah satu ubat perkara ini ialah dengan menyimpan aset yang nilainya tahan dari bahana inflasi. Aset tersebut ialah komoditi seperti emas dan perak. Ini kerana emas adalah komoditi yang bernilai dan dalam keadaan ekonomi macam mana sekalipun emas tetap berharga dan dihargai. Malah dari masa ke semasa harga emas kekal utuh dan ada naik turun tetapi untuk jangka panjang harganya tetap kekal tinggi.
Duit hanyalah kertas yang nilainya dijamin kerajaan. Tapi nilainya tidak ada pada badan duit itu sendiri. Nilainya hanya ditulis sahaja. Nilai itu boleh dirampas semudah menaikkan harga barang sahaja. Duit kertas itu nampak seperti selamat dalam bank tetapi kalau nilainya asyik dirampas sahaja adakah ia masih selamat?
Emas dan perak pula nilainya ada pada badan mereka sendiri. Mereka punya berat mereka. Nilai mereka tidak perlu dijamin sesiapa kerana mereka memang barang bernilai. Tidak ada sesiapa boleh merampas nilai itu selagi anda masih menyimpan emas tersebut.
Bank-bank besar semuanya menyimpan emas. Negara kuat seperti US dan UK menyimpan emas. Orang-orang kaya pun begitu juga. Mereka faham harta yang sebenar ialah emas. Duit hanyalah kertas sahaja. Ia adalah alat sahaja. Duit kertas yang begitu tipis itu sebenarnya bukan ada nilai pun kalau bukan kerana dijamin oleh kerajaan semasa yang memerintah.
Kalau anda tidak menyimpan emas memanglah tidak ada hal, tetapi anda tidak ada ubat yang boleh melawan inflasi. Duit yang banyak di bank pun boleh hilang sekelip mata sahaja kalau inflasi merebak luas dan berleluasa. Tengoklah sahaja di negara yang pernah berlaku inflasi seperti Zimbabwe. Harga barang keperluan asas seperti telur pun berbillion harganya. Nak pergi pasar kena bawa seguni duit. Buat apa macam tu? Duit banyak tapi nilai tak ada.
Nasihat saya, simpanlah emas walaupun sedikit kerana ia adalah salah satu cara untuk selamat dari bahana inflasi. Janganlah berdiam diri sahaja dan menerima nasib seadanya kerana percayalah satu hari nanti keadaan akan menjadi teramat sukar dengan ekonomi yang penuh tipu daya begini. Saya bukan mahu menakutkan sesiapa tapi inilah hakikat yang saya mahu kongsikan dengan anda.
Cubalah anda semak sendiri berapa hutang negara kita, anda pasti terkejut dan keluar peluh jantan. Memanglah mereka kata boleh bayar, tetapi akibatnya pada harga barang dan inflasi? Naikkan cukai boleh la bayar hutang kan, tapi sendiri mahu ingat la harga barang semua naik. Banyak hutang merana badan. Tapi apa boleh buat, negara pun berhutang dengan amat banyak. (Ratusan billion)
Fikirkanlah. Sekian.
Ahmad Sadli Ibrahim
17 Ramadhan 1438 / 13 June 2017
Kajang