Kelebihan menyimpan emas : pajak gadai

Saya ingin berkongsi dengan anda kelebihan menyimpan emas yang ramai orang terutama kaum lelaki tidak sedar ataupun kurang ambil perhatian.

Semua orang tahu emas ialah benda berharga cuma ramai yang kurang arif dan terdedah dengan cara untuk memanfaatkan emas dalam aspek pajak gadai. Itulah sebabnya kesedaran menyimpan emas terlalu rendah di kalangan kaum lelaki. Ada juga yang sedar tapi tak bertindak. Tahu tak kenapa?

Kerana masyarakat kita terlalu banyak menonton televisyen dan drama melayu.

Persepsi masyarakat ialah bila seseorang pergi ke kedai pajak gadai untuk menggadai emas maka dia merupakan seorang lelaki yang terdesak atau lebih teruk lagi gagal dalam hidup. Biasanya dalam drama orang lelaki yang pergi menggadai barang kemas isteri adalah seorang kaki judi yang suka memukul isteri! Hakikat itu ternyata salah dalam kehidupan yang sebenar.

Hakikat pajak gadai ialah meminjam wang dengan menjadikan emas sebagai cagaran. Kalau orang berniaga dia biasanya faham kerana orang berniaga selalunya perlukan duit yang banyak sebagai modal berniaga. Tengok peniaga wanita pasar Siti Khadijah di Kota Bharu, berapa banyak emas yang ada di lengan! Tapi orang makan gaji apatah lagi hidup selesa, mereka kurang sedar hal ini.

Saya ambil contoh diri saya sendiri (masih makan gaji). Kereta rosak di tengah bulan. Kos membaiki pula sekitar RM 5 ribu. Mana mahu dapat duit sebanyak itu dengan cepat? Bukan saya tak ada duit simpanan, tapi duit itu adalah untuk kegunaan masa yang lebih jauh ke hadapan seperti hari tua saya atau kos perubatan.

Di sinilah fungsi pajak gadai bukan sahaja banyak membantu malah mengurangkan beban kewangan dan juga menyelamatkan maruah diri. Bukan tak boleh berhutang dengan kawan atau keluarga, tapi kenapa mahu menyusahkan orang lain dengan masalah sendiri?

Saya pergi pajak emas 10 dinar di Pos Ar Rahnu dan dapat meminjam sebanyak RM 5 ribu lebih. Saya boleh bayar setiap bulan sehingga 6 bulan dan boleh dilanjutkan sehingga setahun tempoh diberi untuk menebus kembali emas saya itu. Alhamdulillah saya dapat tebus dalam jangka waktu 6 bulan walaupun rancangan sebenar ialah untuk ambil masa setahun. Insya Allah anda pun boleh kumpul RM 5 ribu dalam tempoh setahun.

Kalau pinjam dengan bank sudah la ada bunga faedah (interest) yang berdosa, malah kalau tak dapat bayar anda akan di gelar bankrup pula! Kalau pajak emas tak dapat nak tebus kembali pun paling teruk emas tak dapat balik sahaja. Tak adalah sesiapa nak gelarkan apa-apa.

Kalau kita berdisiplin bayar balik pinjaman Ar Rahnu pada akhirnya kita akan dapat balik emas itu. Kalau kita berdisiplin bayar hutang bank, pada akhirnya kita dapat apa? Itulah perkara yang ramai orang tak terbayang. Itu belum lagi cerita bab along, lagi lah sadis, pinjam 2 ribu kena bayar 5 ribu.

Simpanlah emas sebagai sandaran “back-up” dalam hal hal tadi. Lagi pun harga emas akan beredar naik ikut peredaran masa. Turun naik harga itu manipulasi market sahaja, hakikatnya emas sentiasa berharga dan dihargai manusia. Bukan kita kumpul emas nak jadi pelabur macam Warren Buffet atau beli emas dengan niat salah untuk main harga (seolah berjudi). Belilah emas dengan niat betul untuk melindungi nilai duit yang semakin pupus.

Duit kertas memanglah berguna, tetapi nilai duit itu boleh mengecil dimamah oleh inflasi. Nilai duit kertas terletak pada jaminan kerajaan dan keadaan market. Kertas yang ada kuasa katanya. Nilai emas pula terletak di badan emas itu sendiri. Tiada siapa yang boleh merampas nilai emas yang terletak di tangan anda. Tapi duit anda simpan di bank walaupun tak ada orang curi, nilai (kuasa beli) dia boleh jadi menurun juga.

Tengoklah sendiri sekeliling anda kos hidup baru satu generasi pun dah nampak perubahan ketara. Zaman anak cucu kita macam mana? Saya bukan tukang nujum boleh meramal masa depan tapi sejarah terlalu banyak mengajar kita. Belajarlah dari sejarah. Tengoklah berapa banyak nilai emas sudah naik, maksudnya nilai duit kertas jatuh. Hasil bumi pun bukan bertahan selamanya, tanah pun semakin sempit.

Itulah yang saya nak kongsikan. Jadi harapnya anda sedar betapa pentingnya simpan emas ini. Rugi sangat sesiapa yang tak sedar pentingnya simpan emas (dan perak) ni. Aura kedua logam mulia ini sangat kuat membantu manusia hidup sempurna. Emas dan perak adalah duit yang sebenar dan jujur.

Saya akan kongsikan faedah lain pada post lain pula, Insya Allah.

Sekian.

Ahmad Sadli Ibrahim

Authorized Dealer Public Gold

13 Ramadhan 1438 / 8 June 2017

Telaga Bata, Tumpat.